Sejarah perkembangan Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) berkait rapat dengan
perkembangan politik di Malaysia Barat dan Singapura. Bursa saham yang pertama
ialah bursa saham gabungan Malaya dan Singapura yang dikenali sebagai Malayan Stock Exchange. Ia ditubuhkan
pada Mac 1960, iaitu 30 tahun selepas penubuhan Singapore Stockbrokers Association pada tahun 1931. Malayan Stock Exchange telah bertukar
nama kepada The Stock Exchange of
Malaysia apabila Persekutuan Malaysia ditubuhkan pada tahun 1963 (Mohamed
Ariff, et.al, 1998).
Berikutan daripada pemisahan
Singapura dari Persekutuan Malaysia pada 9 Ogos 1965, bursa saham tersebut
telah sekali lagi bertukar nama kepada Stock
Exchange of Malaysia & Singapore. Sehubungan dengan itu, satu akta
syarikat yang baru juga telah diperkenalkan pada tahun 1968. Selain daripada
itu, satu lagi bursa telah diperkenalkan pada tahun 1969 iaitu Bumiputera Stock Exchange yang khusus
bagi penyenaraian syarikat Bumiputera. Walau bagaimanapun, ia hanya memulakan
dagangan pada tahun 1971.
Apabila kerajaan Malaysia dan
Singapura bersetuju untuk memansuhkan perjanjian penggunaan matawang bersama
pada 1973, bursa saham kedua-dua negara mula beroperasi sebagai dua bursa yang
berasingan. Dengan itu, segala urusniaga dagangan saham yang tersenarai di
kedua-dua negara dilakukan dalam matawang yang berbeza. Papan Bursa Saham Kuala
Lumpur (KLSE Board) telah ditukar
kepada Kuala Lumpur Stock Exchange
dan dikawal bersama oleh Capital Issues
Committee, Foreign Investment Committee, Registar of Companies, Takeover Panel
dan KLSE selepas tahun 1976. Tanggungjawab utama BSKL adalah untuk menjaga
tahap kecairan dagangan saham terbitan awam bagi syarikat yang disenaraikan.
Hubungan terakhir di antara bursa
saham Malaysia dan Singapura ialah perjanjian penyenaraian dua hala bagi
syarikat di bursa saham Malaysia dan Singapura. Ini bermakna, syarikat daripada
kedua negara bebas untuk disenaraikan di kedua bursa saham tersebut. Walau
bagaimanapun, keadaan ini tidak kekal lama apabila kebanyakan syarikat lebih
berminat untuk membuat penyenaraian baru di bursa saham negara masing-masing.
Menyedari hakikat ini, Malaysia melalui Menteri Kewangannya telah mengambil langkah
memansuhkan perjanjian tersebut pada tahun 1990. Sehubungan itu, syarikat
Malaysia hanya boleh disenaraikan di BSKL sahaja dan begitu juga sebaliknya
bagi syarikat Singapura. Berikutan dari pemansuhan tersebut, kira-kira 196
syarikat yang tersenarai di pasaran Singapura dan 53 di BSKL telah dikeluarkan
dari senarai bursa-bursa saham tersebut (Mohamed Ariff, et.al, 1998).
Pasaran saham di Malaysia terus
berkembang dengan tertubuhnya Suruhanjaya Sekuriti (SC) pada Mac 1993.
Suruhanjaya ini berperanan untuk mengekalkan ketelusan pasaran serta
meningkatkan lagi perlindungan kepada para pelabur daripada aktiviti-aktiviti
yang bersifat manipulasi yang dilakukan oleh pihak pengurusan syarikat dan para
spekulator. Sektor-sektor di Papan Utama telah mengalami pengubahsuaian pada
September 1993 bagi menunjukkan perubahan di dalam aktiviti perniagaan utama
syarikat. Hasil daripada pengubahsuaian tersebut, syarikat-syarikat telah
dikategorikan kepada 10 sektor utama.
Saham-saham di BSKL akan disenaraikan di Papan Utama atau Papan Kedua.
Papan Kedua telah diperkenalkan pada tahun 1988 bagi memberi peluang
syarikat-syarikat kecil yang tidak dapat disenaraikan di Papan Utama. Syarikat
yang ingin tersenarai di Papan Utama harus mempunyai rekod dan prestasi
kewangan yang mantap dengan modal berbayar minimum sebanyak RM60 juta yang
terdiri dari saham biasa bernilai RM1.00 sesaham serta sekurang-kurangnya 25%
daripada modal terbitan dan berbayar pada masa penyenaraian mestilah dipegang
oleh pihak awam (Buku Maklumat BSKL, Ogos 2000). Syarikat yang tersenarai di
Papan Kedua adalah lebih kecil tetapi mempunyai prospek keuntungan yang besar
pada masa hadapan. Apabila syarikat telah berjaya disenaraikan, ia mesti
mengikut segala peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh BSKL.
Sekiranya syarikat gagal berbuat demikian, dagangan saham syarikat mungkin
digantung atau dikeluarkan dari senarai. Syarikat yang telah tersenarai akan
memperolehi publisiti dan data dagangannya akan dilaporkan di dalam akhbar
harian. Jadual 1.1menunjukkan pertumbuhan jumlah syarikat yang berjaya
tersenarai dan modal pasaran bagi kedua-dua papan pada tahun 1990 dan 1996.
Manakala Jadual 1.2 pula menunjukkan pertumbuhan jumlah dagangan, modal dan
penyenaraian firma di Papan Utama dari tahun 1985 hingga 1996. Jadual 1.3
menunjukkan pertumbuhan jumlah dagangan, modal dan firma di Papan Kedua dari
tahun 1989 hingga 1996 (Mohamed Ariff, et.al,
1998).
Jenis Pasaran |
Jumlah Firma Tersenarai |
Modal (RM bilion) |
||
|
1990 |
1996 |
1990 |
1996 |
Papan utama |
295 |
410 |
131.00 |
746.00 |
Papan kedua |
14 |
208 |
0.56 |
60.80 |
Jumlah |
309 |
618 |
131.56 |
806.80 |
Jadual 1.2 : Jumlah Modal, Volum dan Penyenaraian di
Papan Utama BSKL, 1985 - 1996
Tahun |
Hutang (RM bill) |
Ekuiti (RM bill) |
Jumlah (RM bill) |
Jumlah Firma |
Volum (bill unit) |
KNK* (RM bill) |
JumlahFirma Baru |
1985 |
0.79 |
69.34 |
70.13 |
284 |
2.9 |
57.1 |
5 |
1986 |
0.88 |
63.61 |
64.49 |
289 |
2.3 |
57.8 |
4 |
1987 |
0.96 |
72.41 |
75.27 |
293 |
5.3 |
60.9 |
7 |
1988 |
1.04 |
97.68 |
98.72 |
300 |
4.0 |
66.3 |
6 |
1989 |
1.25 |
154.50 |
155.75 |
306 |
10.2 |
72.5 |
14 |
1990 |
1.46 |
129.00 |
2.75 |
271 |
13.1 |
79.6 |
21 |
1991 |
2.43 |
157.38 |
159.81 |
292 |
12.1 |
86.3 |
25 |
1992 |
6.04 |
236.86 |
242.90 |
317 |
18.6 |
93.1 |
12 |
1993 |
18.25 |
587.78 |
606.03 |
329 |
43.1 |
100.8 |
19 |
1994 |
18.43 |
474.51 |
492.94 |
347 |
58.7 |
109.9 |
22 |
1995 |
25.64 |
526.36 |
551.00 |
369 |
30.9 |
120.3 |
19 |
1996 |
27.34 |
718.66 |
746.00 |
410 |
47.4 |
130.4 |
43 |
* KNK Benar
Jadual 1.3 : Jumlah
Modal, Volum dan Firma di Papan Kedua BSKL, 1989-1996
Tahun |
Hutang (RM bill) |
Ekuiti (RM bill) |
Jumlah (RM bill) |
Jumlah Firma Tersenarai |
1989 |
- |
0.12 |
0.12 |
2 |
1990 |
- |
0.56 |
0.56 |
14 |
1991 |
- |
1.49 |
1.49 |
32 |
1992 |
- |
2.88 |
2.88 |
52 |
1993 |
- |
13.56 |
13.56 |
84 |
1994 |
0.18 |
15.68 |
15.86 |
131 |
1995 |
0.53 |
22.17 |
22.70 |
160 |
1996 |
2.10 |
58.70 |
60.80 |
208 |
Jumlah syarikat yang disenaraikan di Papan Utama telah meningkat sebanyak 53% dengan jumlah modalnya pula
meningkat sebanyak 469%. Bagi Papan Kedua pula, walaupun diperkenalkan pada
tahun 1988, ia hanya memulakan dagangan pada tahun 1989 dengan hanya 2 buah
syarikat yang tersenarai. Jumlah ini meningkat 25 kali ganda daripada 14 pada
1990 kepada 208 pada 1996, dengan jumlah keseluruhan modal pasaran meningkat 60
kali ganda. Bagi kedua-dua papan, lebih 90% daripada jumlah modal berbentuk
ekuiti. Jumlah hutang syarikat di Papan Utama meningkat berbanding syarikat di
Papan Kedua. Pada akhir Disember 1996, jumlah modal keseluruhan bagi syarikat
yang tersenarai di Papan Utama ialah RM74 billion, kira-kira 12 kali ganda
berbanding syarikat di Papan Kedua. Namun begitu, krisis kewangan yang melanda
pada tahun 1997 telah menyebabkan nilai pasaran jatuh dengan mendadak apabila
indeks komposit jatuh dari 1000 mata kepada 500 mata (Mohamed Ariff, et.al, 1998).
1.2 Pernyataan
Masalah
Sejak tahun 1990, prestasi Indeks Komposit Bursa Saham
Kuala Lumpur (BSKL) telah melonjak selaras dengan kenaikan pasaran saham
serantau. Dari tahun 1990 hingga 1993, Indeks Komposit BSKL telah mencatat
peningkatan yang cemerlang iaitu sebanyak 123.75%. Sungguhpun Indeks Komposit
BSKL mengalami kejatuhan pada tahun 1994, ia telah kembali pulih pada tahun
1995 dan 1996 dengan peningkatan sebanyak 2.47% dan 24.40% masing-masing.
Indeks Komposit BSKL kemudiannya jatuh semula pada tahun 1997 dan 1998 sebanyak
51.98% dan 1.4% masing-masing. Pada tahun 1999, Indeks Komposit BSKL melonjak
semula sebanyak 38.59%. Peratus perubahan Indeks Komposit BSKL bagi tempoh 10
tahun ditunjukkan pada Jadual 1.4.
Jadual 1.4 Indeks Komposit BSKL (1990-1999)
Tempoh
|
% Perubahan |
|
Indeks Komposit |
|
1990 |
- |
|
505.92 |
|
1991 |
9.94 |
|
556.22 |
|
1992 |
15.77 |
|
643.96 |
|
1993 |
98.04 |
|
1275.32 |
|
1994 |
-23.85 |
|
971.21 |
|
1995 |
2.47 |
|
995.17 |
|
1996 |
24.4 |
|
1237.96 |
|
1997 |
-51.98 |
|
594.44 |
|
1998 |
-1.4 |
|
586.13 |
|
1999 |
38.59 |
|
812.33 |
|
Sumber : Dipetik daripada Bursa Saham Kuala Lumpur, 1990 – 2000 |
Walaupun
Indeks Komposit mengalami tahap volatiliti yang tinggi, ia sebenarnya merupakan
sebuah pasaran saham yang agak stabil berbanding pasaran-pasaran sedang
membangun yang lain seperti di China dan Colombo. Ini boleh dibuktikan dengan
purata pulangan tahunan pasaran saham China sebanyak 86% dengan sisihan piawai
74% dan purata pulangan bagi pasaran saham Colombo sebanyak 43% dengan sisihan
piawai 55%. Manakala Bursa Saham Kuala Lumpur mencatatkan purata pulangan
sebanyak 32% dengan sisihan piawai 21%. Bursa Saham Jakarta pula mencatat
purata pulangan sebanyak 40% dengan sisihan piawai 70% bagi tahun 1983-1994
(Mohamed Ariff, et.al, 1998). Sisihan
piawai pasaran BSKL yang rendah berbanding dengan pasaran saham China, Colombo
dan Jakarta mencerminkan tahap risiko BSKL lebih rendah berbanding dengan
pasaran yang mempunyai sisihan piawai yang tinggi. Walau bagaimanapun, Indeks
Komposit BSKL secara umumnya mempunyai tahap volatiliti yang tinggi. Satu lagi
isu yang menyebabkan Indeks Komposit BSKL mengalami turun naik ialah peratusan
pelabur individu dalam pasaran yang tinggi iaitu sebanyak 80% berbanding
peratusan institusi pelaburan sebanyak 20% sahaja dalam pasaran (Mohamed Ariff,
et.al, 1998). Peratusan pelabur
individu yang tinggi menyebabkan pasaran lebih tidak stabil kerana pelabur
individu kebanyakannya menjalankan aktiviti spekulasi dan jual beli berdasarkan
khabar angin.
Ketidakstabilan
pasaran BSKL membimbangkan pelabur institusi, pelabur dan kerajaan. Masalah
inilah yang menjadi masalah utama kepada BSKL. Keadaan turun naik indeks yang
ketara adalah tidak sihat dan ini mungkin menyebabkan pelabur institusi dan
pelabur asing tidak yakin untuk melabur di dalam pasaran BSKL. Keadaan akan
menjadi lebih teruk lagi sekiranya pelabur tempatan turut keluar daripada
pasaran saham dan melabur dalam pasaran kewangan lain yang lebih selamat. Ini akan
menjadikan pasaran saham BSKL lebih tidak stabil. BSKL sepatutnya menjadi
sebuah pasaran pelaburan yang memberikan pulangan yang lumayan selaras dengan
keadaan ekonomi yang berkembang. Namun begitu, dengan tahap volatiliti pasaran
yang tinggi, ia telah bertukar menjadi tempat perjudian kepada para spekulator.
Oleh
itu, kajian ini dijalankan untuk mengkaji hubungan antara indikator ekonomi
negara dengan Indeks Komposit BSKL. Pada dasarnya, pasaran saham merupakan alat
pelaburan yang sesuai untuk mengelakkan pelabur daripada ancaman inflasi dan
juga menghayati perkembangan ekonomi negara bersama. Dalam erti kata lain,
ekonomi negara menyumbang kepada pergerakan Indeks Komposit BSKL. Ini dapat
dibuktikan dengan melihat kepada sejarah pergerakan Indeks Komposit BSKL pada
tahun 1985 apabila ia mencapai tahap yang terendah akibat daripada krisis
ekonomi yang melanda negara pada ketika itu. Kemudian pada tahun 1994, Indeks
Komposit melonjak melebihi 1400 mata selaras dengan pertumbuhan ekonomi negara
melebihi 8% selama lapan tahun berturut-turut. Namun begitu, pada 1 September
1998, Indeks Komposit jatuh kepada tahap yang terendah dalam sejarah kepada 262
mata akibat daripada kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika dan KDNK
negara tahun 1998 yang dijangka defisit lebih daripada 6% pada tahun tersebut.
KDNK negara sebenar pada tahun 1998 ialah –7.2%. Akibat daripada krisis
ekonomi, kerajaan telah melaksanakan beberapa dasar seperti kawalan modal,
penubuhan Dana Modal dan Dana Harta serta tindakan yang berterusan dengan
harapan dapat memulihkan indikator-indikator ekonomi negara yang defisit.
Hasilnya, ekonomi negara telah beransur pulih dan Indeks Komposit BSKL telah
meningkat kepada 610.19 mata pada 26 Januari 1999. Perangkaan jelas menunjukkan
bahawa keadaan ekonomi negara sememangnya menyebabkan turun naik Indeks
Komposit BSKL.
Memandangkan keadaan ekonomi mempengaruhi pasaran saham; ketidakstabilan
pasaran saham akan membimbangkan ramai pihak. Maka, kajian ini dijalankan untuk
menganalisis hubungan faktor ekonomi dengan Indeks Komposit BSKL. Kajian ini
menganalisis hubungan lima faktor ekonomi terhadap Indeks Komposit BSKL. Lima
faktor ekonomi tersebut ialah indeks utama asing, kadar pertukaran asing, kadar
faedah, kadar inflasi dan indeks pasaran hadapan. Dengan itu, institusi
pelaburan dan pelabur individu serta pihak yang terlibat dapat menggunakan
faktor-faktor tersebut sebagai alat untuk meramal pergerakan Indeks Komposit
BSKL.
1.3 Matlamat
Kajian
Matlamat kajian ini adalah untuk menganalisis pergerakan Indeks Komposit
BSKL dengan menggunakan kaedah ekonometrik dan memahami pergerakan indeks
tersebut. Hasil kajian ini diharap dapat memberi manfaat kepada pengurus dana
khasnya dan orang awam amnya untuk membuat ramalan terhadap pergerakan Indeks
Komposit BSKL.
1.4 Objektif
Kajian
Objektif kajian ini adalah untuk menganalisis pengaruh indikator-indikator
ekonomi terhadap pergerakan Indeks Komposit BSKL. Terdapat empat indikator
ekonomi yang dikaji dalam kajian ini. Berikut ialah objektif kajian ini secara lebih terperinci:
(a) Mengkaji kesan pergerakan indeks asing terhadap Indeks Komposit BSKL.
(b) Mengkaji kesan perubahan kadar pertukaran asing terhadap Indeks Komposit
BSKL.
(c) Mengkaji kesan perubahan pembolehubah ekonomi iaitu kadar faedah dan
inflasi terhadap Indeks Komposit BSKL.
(d) Mengkaji pengaruh pergerakan indeks niaga hadapan ke atas Indeks Komposit
BSKL.
1.5
Skop Kajian
Kajian ini
akan menganalisis pergerakan Indeks Komposit BSKL mulai tahun 1996 hingga tahun 2000. Kadar pertukaran matawang
asing yang dipilih bagi tujuan analisis ialah Dolar Amerika (USD), Yen Jepun
dan Dolar Singapura. Kajian ini juga akan mengenalpasti kesan turun naik indeks
pasaran asing iaitu indeks Dow Jones Industrial Average (DJIA), indeks NIKKEI, indeks Hang Seng serta indeks Straits Times
terhadap pergerakan Indeks Komposit BSKL. Selain daripada itu, Indeks Niaga
Hadapan KLOFFE akan digunakan untuk mengkaji hubungannya dengan Indeks Komposit
BSKL. Bagi indikator kadar faedah pula, hanya kadar antara bank bermalam sahaja
yang digunakan bagi tujuan analisis.
Dalam bahagian
analisis empirik pula, data yang digunakan ialah data bulanan Indeks Komposit
BSKL dari tahun 1996 hingga tahun 2000. Tempoh ini digunakan kerana KLOFFE
hanya ditubuhkan pada Disember 1995. Oleh itu, data bagi urusniaga KLOFFE hanya
boleh diperolehi selepas Disember 1995. Manakala data diambil sehingga tahun
2000 kerana model yang dibangunkan akan disimulasi untuk melihat keupayaan
model menjejaki data sebenar.
Kadar
faedah yang digunakan untuk tujuan analisis ialah kadar antara bank bermalam.
Kadar faedah ini mempunyai data yang lengkap serta ia mempengaruhi kecairan
dalam pasaran kewangan (Laporan Tahunan BNM, 1997). USD, Yen Jepun dan Dolar
Singapura dipilih sebagai faktor pertukaran matawang berbanding RM kerana
negara-negara tersebut mempunyai perdagangan luar dengan Malaysia yang tinggi.
Didapati bahawa pelaburan Amerika Syarikat di Malaysia merangkumi 28.6%
daripada jumlah pelaburan asing di Malaysia pada tahun 1999 (Sistem Laporan
Imbangan Pembayaran Berasaskan Tunai, BNM, 2000).
Indeks
Dow Jones Industrial Average akan dianalisis untuk melihat kesan turun naik
indeks pasaran asing terhadap pergerakan Indeks Komposit BSKL. Ini kerana
indeks ini merupakan sebuah pasaran maju yang terbesar dan mempengaruhi
kebanyakan pasaran sedang membangun. Manakala indeks NIKKEI, Hang Seng dan
Straits Times akan dianalisis bagi melihat pengaruh indeks pasaran serantau
terhadap Indeks Komposit BSKL. Sementara itu, indeks niaga hadapan yang dipilih
ialah KLOFFE kerana ia merupakan indeks niaga hadapan bagi Indeks Komposit
BSKL.
1.6
Kepentingan kajian
Kajian
ini penting kerana dengan menganalisis pergerakan Indeks Komposit BSKL serta
kesan pengaruh luar iaitu indeks utama asing, kadar pertukaran asing, kadar
faedah, kadar inflasi dan pasaran hadapan, ia dapat membantu pihak BSKL untuk
memberi maklumat yang tepat pada masa (real
time) kepada masyarakat pelabur (http://www.klse.com.my). Oleh itu,
bahagian kedua kajian ini melibatkan pembinaan model ekonometrik untuk
membuktikan hubungan tersebut. Dengan maklumat yang diberi, sebuah pasaran yang
aktif dan luas dapat diwujudkan melalui teknologi maklumat agar orang ramai
dari seluruh pelosok negara berminat untuk menyertai dan memasuki BSKL.
Seterusnya BSKL akan menjadi kayu pengukur terhadap perkembangan dan aliran
semasa ekonomi dan industri melalui pergerakan harga dan dagangan saham di BSKL
dari semasa ke semasa.
Hasil
kajian ini juga diharap dapat dijadikan sebagai rujukan kepada pengurus dana
untuk meramal pergerakan indeks harga dengan lebih tepat. Model yang dibentuk
dapat membantu pengurus dana dalam membuat perancangan dan perlaksanaan dengan
lebih lancar dan efisyen. Ini kerana pengurus dana akan lebih memahami pengaruh
luar yang menyebabkan turun naik indeks harga pada masa hadapan serta dapat
membina keyakinan pada diri pengurus dalam pelaburan kerana beliau dapat
meramal pergerakan indeks dengan lebih tepat.
Selain daripada itu, hasil kajian ini
dapat dijadikan rujukan kepada pelabur-pelabur yang ingin membuat pelaburan di
bursa saham. Model yang dibentuk boleh menjadi panduan kepada pelabur dalam
meramal pergerakan indeks harga pada masa hadapan dengan melihat kepada empat
faktor ekonomi yang mempengaruhinya. Dengan itu, pelabur dapat meraih lebih
banyak pulangan dari pelaburan dengan adanya ramalan yang lebih tepat.
Akhir sekali, maklumat–maklumat dalam
kajian projek ini dapat menjadi rujukan kepada pengkaji-pengkaji lain yang
ingin menjalankan penyelidikan yang berkaitan. Pengkaji-pengkaji akan dapat
menyelesaikan kajian dengan lebih cepat dan tepat dengan berpandukan hasil
kajian ini. Kajian ini juga akan membuka ruang kepada pengkaji-pengkaji lain
untuk menganalisis faktor-faktor lain yang boleh mempengaruhi pergerakan indeks
saham.